Kisah Kejayaan Usahawan Jutawan


Kali ini saya ingin berkongsi dengan anda mengenai seorang lagi tokoh usahawan Malaysia. Siapa tidak kenal dengan tokoh usahawan bumiputera yang terkenal bukan sahaja di Malaysia malah di serata dunia terutamanya bursa-bursa saham.

Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhari

Nama seorang tokoh usahawan bumiputera terkenal di Malaysia iaitu Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhari tiba-tiba melonjak naik. Namanya terkenal bukan sahaja di Malaysia malah di serata dunia terutamanya bursa-bursa saham. Tidak banyak yang diketahui mengenai latarbelakang beliau.

Kekayaan beliau dianggarkan sebanyak RM2.15 billion menduduki tempat ketujuh di dalam senara 40 orang kaya di Malaysia menurut akhbar perdagangan Business Economics, 2004.

Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhari berasal daripada Alor Setar, Kedah. Beliau bermula sebagai seorang pengusaha daging pada tahun 1970. Beliau dikenali dengan sikap rendah diri, namun beliau tidak pernah berpuas hati dengan kedudukannya dan sentiasa berusaha keras untuk memperbaiki taraf hidupnya.

Sekitar tahun 80-an, Tan Sri Mokhtar telah beralih ke bidang pengangkutan yang telah membawa tuah kepadanya sehingga menjadi salah seorang antara tokoh korporat bumiputera yang terkaya di Malaysia. Beliau salah seorang yang bertanggungjawab menjadikan Pelabuhan Tanjung Pelepas Johor menjadi terkenal di mata dunia dalam tempoh singkat.

Tan Sri Syed Mokhtar telah mengasaskan Yayasan (Islam) Al-Bukhary yang telah membina dan menguruskan Muzium Kesenian Islam bernilai RM70 juta di Kuala Lumpur selain banyak menjalankan kerja-kerja amal dan kebajikan terutamanya sekitar Negeri Kedah dan Perak.

Kegigihan Tan Sri Syed Mokhtar telah berjaya menarik perhatian dan kekaguman bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir yang menggalakkan lebih ramai tokoh korporat bumiputera dapat dilahirkan menerusi usaha keras sebagaimana Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhari.

Tan Sri Syed Mokhtar merupakan seorang yang tidak pernah mengenal erti kegagalan dan beliau sentiasa belajar dari apa juga kesilapan yang dilakukan. Seorang yang berhati-hati dalam perniagaan terutamanya soal pembelian dan pengambilalihan kepentingan dalam sesebuah syarikat dan projek. Beliau seolah-olah memikirkan kepentingan orang ramai terutamanya bumiputera sebelum membuat apa-apa keputusan penting dalam perniagaan.

Tan Sri Syed Mokhtar juga merupakan seorang yang pemurah, menggemari perkara-perkara amal dan kebajikan, kuat bekerja, merendah diri dan tidak gemarkan publisiti.

Sememangnya usaha keras merupakan salah satu faktor kejayaan dalam sesuatu perniagaan. Setiap usahawan perlu bekerja keras untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan yang diceburi.

 

Sphere: Related Content

Kali ini saya ingin berkongsi kisah kejayaan seorang lagi tokoh usahawan Malaysia. Siapa tidak kenal dengan Datuk Low Boon Siew. Tokoh yang memperkenalkan motosikal Honda di Malaysia. Ikuti Kisah Beliau.

Datuk Low Boon Siew

Datuk Low Boon Siew berasal dari Kampung Hui, daerah Fukian, sebuah wilayah yang di anggap paling miskin di China pada satu ketika dahulu. Kehidupan keluarga Datuk Low sangat miskin menyebabkan beliau tidak pernah berpeluang ke sekolah. Sejak kecil lagi beliau bekerja mengutip najis haiwan sebagai baja pertanian dan memancing ikan untuk dijual sebagai tambahan pendapatan keluarganya.

Ketika berumur 12 tahun, ayahnya membawanya ke Pulau Pinang untuk berhijrah dan mencari sumber pendapatan. Beliau disuruh oleh ayahnya bekerja di sebuah kedai mekanik. Mereka berdua tidak mempunyai sedikit pun masa untuk bersukaria tetapi bekerja kuat untuk menghantar duit untuk keluarga yang berada di China. Untuk memperolehi pendapatan lebih, di sebelah malam beliau membasuh bas dan upahnya 10 sen bagi setiap bas.

Ketika berumur 18 tahun, beliau tertarik untuk berniaga sendiri dan sering memikirkan cara bagaimana untuk mendapat peluang berbuat demikian. Hasil daripada wang yang disimpan sedikit demi sedikit, beliau kemudian membeli beberapa peralatan mekanik bernilai RM 10.00 dan 8 buah bas berharga RM200.00 untuk diperbaiki dan dijadikan bas penumpang. Bas ini mendatangkan hasil lumayan kepada beliau iaitu RM1.20 hingga RM1.40 sehari.

Setiap keuntungan disimpan sedikit sementara bakinya dijadikan modal pusingan semula. Dalam masa 7 tahun beliau mempunyai 40 buah bas dan membuka kedai bateri serta barang ganti kenderaan. Selepas perang dunia kedua tamat, Datuk Low meluaskan perniagaannya dengan membuka kedai kereta terpakai dan menjadi ejen pengedar beberapa jenis motosikal keluaran British.

Dalam tahun 1958, beliau melawat Jepun untuk makan angin. Di Jepun beliau ternampak sebuah motosikal Honda yang belum pernah digunakan di Malaysia dan berfikir mungkin mendapat pasaran baik jika dibawa ke sini. Setelah mengesan siapakah pengeluarnya, beliau membuat perjanjian untuk memesan 12 unit. Motosikal ini kemudian dijual kepada kawan rapatnya tanpa mengambil apa-apa untung.

Motosikal Honda yang dibawanya ditertawakan oleh orang ramai yang menganggap ia tidak berguna dan cepat rosak, namun ia tidak mematahkan hasratnya untuk memperkenalkan motosikal sehingga menjelang tahun 1963, motosikal Honda menjadi kenderaan yang paling diminati. Beliau adalah orang yang berjaya menempatkan kereta jenis Honda sebagai kenderaan ketiga terbesar di negara ini sejak 3 tahun lalu.

Kini beliau mempunyai alasan untuk berbangga dengan kejayaannya di dalam alam perniagaan dan tokoh korporat, sekali gus meletakkan beliau sebagai seorang yang terkaya di Pulau Pinang dan antara 10 tokoh usahawan terkemuka di Malaysia. Adalah menjadi pengetahuan umum, Datuk Low tidak begitu pandai menulis namanya secara tepat setelah belajar sekian lama. Namun begitu beliau memiliki satu pasukan profesional untuk berkhidmat dengannya.

Apa yang dapat dipelajari daripada kisah Datuk Low Boon Siew ini ialah, dalam menjalankan sesuatu perniagaan, kita tidak boleh patah semangat dengan segala halangan yang datang. Walaupun dikutuk atau ditertawakan, itu bukan satu faktor untuk menghalang kejayaan tetapi jadikan ia sebagai pendorong untuk kita lebih maju dan berjaya.

Satu lagi faktor kejayaan beliau adalah bijak mengambil peluang. Dengan memperkenalkan model motosikal yang belum pernah ada di Malaysia pada masa itu. “Be the first”.

 

Sphere: Related Content

Kali ini saya ingin berkongsi dengan anda mengenai Kisah Kejayaan Usahawan Jutawan. Saya rasa agak penting untuk kita membaca kisah-kisah Kejayaan Usahawan Jutawan supaya dapat dijadikan sumber inspirasi dalam mencapai matlamat kita semua. Kisah Kejayaan Usahawan Jutawan ini bukannya dari perniagaan internet sahaja.

Pada post kali ini saya ingin berkongsi kisah J.Paul Getty, Seorang saudagar minyak.

J.PAUL GETTY

J.PAUL GETTY, jutawan minyak dan orang yang amat bernasib baik, tidak teratur perjalanan hidupnya ketika dia masih kecil. Dia masuk ke university kerana mahu menjadi seorang penulis. Kemudian dia masuk perkhidmatan diplomatik. Setelah keluar University dia tertarik dengan kekayaan minyak di Oklahoma, sumber kekayaan ayahnya. Perusahaan minyak ini tidak langsung menjadi cita-cita Getty, tetapi dia rasa dia terpaksa menangguhkan perkhidmatannya sebagai diplomat untuk setahun dan cuba menjadi usahawan minyak.

Getty mengumpulkan modal dengan bekerja di lombong minyak orang lain dan kadangkala terpaksa meminjam dari ayahnya. Ayahnya berpegang kuat kepada prinsip tidak mahu memanjakan anaknya. Dia meminjamkan wang kepada anaknya tetapi dalam jumlah yang sedikit sahaja. Getty yang masih muda adalah seorang yang berani tetapi bukan terburu nafsu. Dia tidak melibatkan diri dalam projek yang memerlukan wang tunai yang banyak kerana takut menderita sekiranya kerugian. Projek-projek awalnya gagal tetapi pada 1916 dia berjaya menjumpai telaga minyak pertama. Dia mula kaya ketika umurnya baru 23 tahun.

Nasib baik? Sudah tentu. Getty sememangnya bernasib baik. Dia berbuat sesuatu kena pada hakikatnya. Bagaimanakah dia mengetahui bahawa telaga itu akan menghasilkan minyak? Dia tidak tahu walaupun dia telah mengumpulkan data-data. “Semua perkara menpunyai unsur nasibnya.”, dia berkata, dan “Anda harus berani bersama nasib anda.”.

Orang bernasib baik adalah orang yang berani dan orang yang kurang berani dengan beberapa pengecualian adalah yang kurang bernasib baik. Nasib baik mungkin menyebabkan nasib yang baik. Untuk bertindak berani ikutilah panduan ini:

Bersedialah untuk bertindak cepat atau pantas menuju ke arah sesuatu yang baru apabila peluang keemasan tiba. Bezakan antara keberanian dan perbuatan terburu-buru. Kalau anda melaburkan seluruh wang simpanan anda untuk satu-satu projek yang berkemungkinan besar akan merugikan anda, ini adalah perbuatan yang terburu-buru.

Kisah kejayaan yang dikongsi pada kali ini adalah berdasarkan kepada nasib dan bijak mengambil peluang. Sebenarnya terdapat banyak faktor-faktor yang menentukan kejayaan seseorang seperti yang telah di bincangkan pada post yang lepas. Pada post yang akan datang, saya akan berkongsi lagi kisah kejayaan usahawan jutawan yang lain pula.

Sphere: Related Content